Puisi-Puisi Rosmiaty Shaari

Puisi-Puisi Rosmiaty Shaari
Rosmiaty Shaari

MUNAJAT INI
Rosmiaty Shaari:

kepiluan merata
merayap-rayap ke seluruh anggota
meski seketika
selebihnya bergumpalan di mata
yang melihat tanpa ada

ya, berteduhlah kesedihan
di bawah pohon keinsafan
sebelum meninggalkan titis-titis airmata di tanah jauh

kepiluan yang keras dan mendesak-desak ruang senyap bagai sembilu
menusuk liang terbuka
menuju hala yang entah mana
tanda cahaya

dunia hanya rentetan peristiwa yang tercipta daripada serbuk cinta
selebihnya tiada apa
selain menarik nafas yang sehela
selebihnya tiada apa
melainkan sujud yang rela...

kepadamu...
bangkitlah dengan tangan doa yang meminta
bangkitlah
bangkitlah
seperti sediakala...

Malaka, 18 Juni 2020

Catatan ini tercetus beberapa jam sebelum allahyarham Pak Malim Ghozali Pk kembali ke rahmatullah yakni ketika beliau sedang kritikal. Semoga allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh, amiinn... (11:10 pm - 18 jun 2020)


LUKISAN GUNUNG SAHILAN
Rosmiaty Shaari:


bulan tergantung di air terjun
menjadi lampu menerangi kegelapanmu
matahari tertampal ke dinding batu
menjadi haba menyelimuti kedinginan malammu
rimba, telah kudengar ngauman rimau
membelang kegagahan, rimbang baling

kini, kusatukan angin dalam aroma hijaumu
dari setiap rimbang baling
menjadi gelegak ikan-ikan
menggelepar
diterpa-terpa lincah angin nakal
bertiup-tiup di hujung kening

jajaran gunung pun menjadi gagah
melingkar serupa akar-akar meliar
beradu kekuatan dan cakaran
menggarangkan perlumbaan
menuju ketentuan
cengkaman
-milik siapakah kemenangan?

semua terlukis rapi
seperti lukisan sang pelukis
yang menatap lukisan pasrah
dalam resah gelisah

Maret

Rosmiaty Shaari, perempuan kelahiran Teluk Intan, Negeri Perak, Malaysia ini, memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, pernah mengikuti Pengajian Seni Kreatif (Kesusasteraan) di Universiti Sains Malaysia (USM) tahun 1983/1984.

Sejumlah anugerah yang pernah diterima, pemenang pertama Sayembara Cerpen PENTAS – cerpen Nenek Utih (1980);  Pemenang Hadiah Utama Sayembara Cerpen anjuran Kerajaan Negeri Selangor – cerpen Matahari Kian Rembang (1986);  Pemenang Hadiah Utama Anugerah Puisi Dunia NUMERA -- puisi Risalah Melayu (2014);  

Selanjutnya, pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2013 – cerpen Istana Cindai (2014); Pemenang Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) 2012/2013 – cerpen Istana Cindai (2014). Pemenang Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) 2016/2017 – kumpulan puisi Daun nan Bercinta.

Kumpulan puisi Daun Nan Bercinta (ITBM 2016),  telah dilancarkan di Aceh dan dibicarakan oleh pengkritik sastra Indonesia, Maman S Mahayana dalam kajian sastera bandingan bersama kumpulan puisi Bayang Ibu, D Kemalawati, penyair Acheh pada Juli 2016.

Komentar

Loading...